Serabut adalah makhluk bernyawa
Datang ketika ribut melanda
Hadir ketika sedih menjelma
Hampir bila marah memurka
Hanya kasih penghalau
Hanya senyum pengubat
Hanya tawa menyekat
Hanya suka menyebat
Serabut itu...
Ubat mujarab
Zikir dan Quran
Membaca selalu ada
Kadang nafsu meronta
Menghempap diri
Merubah situasi
Serabut kadang menjelma
Bila datang sukar tiada
Bila hadir sungguh seksa
Allah sungguh berkuasa
Bila serabut ada
Semua seolah tiada di depan mata
Hilang begitu sahaja
Hanya Allah Maha Berkuasa
Moga serabut lagi tiada
Kawakib Duriyah
Gombak
8 September 2009
12.15 am
Sakit aku terus bersambung selepas transit sementara pada hari minggu yang lepas. Sekarang bersambung kembali bermula Isnin hingga tulisan ini dititip. Mengikut maklumat dari kotak gambar berbunyi, matahari sedang berada tegak di atas garisan tropika, menyebabkan panas yang terlalu terik.
Tekak aku masih sakit, mungkin kerana kurang bercakap perkara yang baik atau kurang mengingati Empunya tekak ini. Maafkan diriku. Tentang selamat hari ibu, aku sudah lali dengan sambutan ini, kerana aku tidak menyambutnya bersama ibuku kerana sebelum aku mengetahui ada sambutan hari ibu, ibuku telah pergi lebih awal. Kira-kira dua puluh tahun yang lalu. Bagi aku, hari ibu tidak perlu disambut pada hari-hari tertentu, kerana kita semestinya menyambut hari ibu setiap hari.
Apakah kita mampu membalas jasa ibu kita hanya dengan menyambut hari berkenaan. Pada zaman Rasulullah s.a.w. dulu pernah berlaku, ada sahabat r.a. yang mendukung atau mengangkat ibunya menunaikan haji sehingga selesai. Lalu beliau berjumpa Rasulullah s.a.w. dan bertanya, adakah beliau telah berjaya membalas jasa ibunya itu. Rasulullah s.a.w. menjawab, "Kamu tidak akan dapat membalasnya walaupun kamu mendukungnya sampai mati." (Hadith ini aku tidak pasti status kesahihannya, kerana aku cuma mendengar daripada Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor di dalam kuliah kursus Ahadith Akhlak tahun 2002)
Jadi, aku rasa tidak perlu kita sambut hari ibu kerana kita semestinya mengingati ibu setiap hari setiap masa. Orang-orang yang memulakan sambutan ini adalah kerana hidup mereka terlalu mengejar dunia, sehingga mereka lupa ahli keluarga mereka. Ini yang banyak berlaku di negara Barat, apabila anak-anak ada kehidupan, mereka lupa siapa yang melahir dan menjaga mereka selama ini.
Bagi aku, ibu adalah asbab kewujudanku. Tanpa Wan Salamah Wan Ahmad maka tiadalah Ahmad Saifuddin bin Yusof yang sedang menaip patah perkataan ini sekarang. Terima kasih ibu, hanya lafaz ini kumampu.
Terima kasih ibu
Terima kasih ibu
Hanya kalimah ini sahaja yang mampu
Untukku luahkan dari rongga mulut ini
Terima kasih memberi budi
Memberi isi hati
Mengajar urus kendiri
Dari membasuh muka hingga ke kaki
Terima kasih ibu
Mengajarku menumbuk kunyit sendiri
Atau belajar membancuh air minum
Mengerti kerja seorang ibu
Untuk kufaham penat seorang perempuan
Bergelar ibu
Terima kasih ibu
Dari tingkahmu kubelajar
Hidup berdikari
Hidup mengerti penat seorang isteri
Terima kasih ibu
Hanya lafaz ini kumampu...
Kawakib Duriyah
Gombak
Badan aku tidak berapa sihat sekarang. Mungkin kerana cuaca yang tidak menentu atau mungkin juga kerana aku sudah satu setengah tahun tidak merasai sakit seperti demam ini. Tetapi ada sesuatu yang pelik tentang demam ini, kerana ada seorang tabi'in (saya lupa namanya) dahulu pernah berkata, "Sakit yang aku suka adalah demam." Pelik bukan, ada juga orang suka pada demam.
Aku rasa, mungkin dengan datang demam, kita akan merasakan kehadiran Tuhan menegur segala silap selama ini. Atau mungkin dengan datangnya demam, kita akan rasa betapa nikmatnya sihat selama ini. Tetapi adalah lebih pelik lagi kerana Nabi s.a.w. pernah bersabda (mafhum), "Demam itu adalah daripada percikan api neraka." (Maaf, aku lupa sumber hadith ini, tetapi ia sahih). Api neraka!
Betulkah begitu? Para ulama' memberi pelbagai pandangan tentang hal ini. Tetapi aku ada pandangan berbeza, sebenarnya apa yang dikatakan Nabi s.a.w. itu adalah isyarat bahawa, dengan cara demam kita boleh mengingati azab api neraka, kerana kita akan terasa kepanasan suhu badan kita. Dengan perbezaan 0.5 darjah celsius sudah cukup untuk membuatkan kita demam. Api neraka bagaimana pula? Sudah tentu lebih dahsyat lagi bukan.
Apa yang aku rasa sekarang agak terganggu kerana aku mesti menyiapkan juga bab terakhir disertasi sarjana aku dalam masa terdekat ini. Badan seperti berhenti berfungsi untuk membantu aku menyiapkan beban ini. Mohon pada sekalian sahabat, memberi sedikit perangsang untuk aku teruskan tanggung jawab ini. Semoga ia dapat menguatkan lagi semangat aku meneruskan perjuangan ini. Biar pun sekelumit, ia tetap bermakna. Terima kasih aku ucapkan pada kalian.
Untuk ke sekian kali aku cuba menulis juga untuk kumohon semangat dari yang Esa. Sekarang penulisan sedang dalam rangka akhir untuk kuakhiri penuh ikhlas. Tetapi tenaga seakan terhenti, tubuh seperti diam berdiri. Aku masih mencari punca, atau mungkin kerana kurang komunikasi dengan Yang Esa. Aku memohon kepada semua supaya mendoakan aku untuk terus berlari kerana garisan penamat semakin hampir untuk kutuju.
Lutut seperti mahu mengalah, tetapi minda masih positif untukku terus bertahan. Tolong Tuhan, aku memohon seribu ampunan supaya aku dapat berlari dengan tenang. Semakin dekat dengan garisan, semakin bertalu ujian mendatang. Dari paluan canang syaitan persetan hingga perkara picisan yang tidak perlu difikirkan. Apa lagi yang kumahu untuk kusimpul disertasi ini. Laptop sudah di depan, sepuluh jari masih kuat untuk berlari mencari kalimah makna. Kesakitan luaran yang kualami hasil kerana saban masa berteleku bersengkang mata mencari bilah-bilah kata untuk dititipkan pada disertasi ini.
Kumerayu untuk kuhabiskan tanggung jawab ini. Beban yang agak berat di bahu ini, harus kuselesaikan dengan segera mungkin. Mohon Ya Allah untuk kuhabisi kesimpulan ini, untuk dinoktahkan kalimah-kalimah ini. Mohon satu persejuta tenaga dari langit untuk gagahkan diri dan hati ini mendarat dengan penuh ikhlas dan rendah diri. Kumohon tiap titik peluh dan sukat tenagaku agar menjadi hujjah di depanMu. Mohon dikira berapa huruf, berapa kalimah, berapa baris untuk diberi ganjaran di sana.
Hanya ampunan dariMu untuk kutenangkan hati ini, meneruskan perjuangan minda dan raga. Kupinta ditunjukki jalan benar lagi betul untuk setiap saat dan detik yang berlari-lari. Setiap milisaat mohon ditunjuk Ya Allah...
Cantingkan hati ini dengan batik ikhlas dan rendah diri, patuh dan taat, syahdu dan rindu padaMu. Kumohon Tuhan, untuk kuakhiri beban ini... Bahuku semakin lenguh untuk kupikul, kumohon tenaga yang tersisa ini mampu diteruskan jua. Allah... hanya Kamu Yang Maha Mampu.
Tiap baris kata ini memberi makna
Tiap baris kalimah ini ada suara
Tiap baris-baris ayat ini membentuk cerita
Akan kutitipkan kata-kata
Dari cerita kitab tua
Bukan cerita purbakala
Tetapi cerita Nabi kita
Muhammad namanya
‘Abdullah bapanya
Aminah ibunya
Khadijah isterinya
Islam perjuangannya...
Dari celah kitab tua...aku bercerita...
Kawakib Duriyah
17 April 2009, 12.50 pagi
Gombak
Secupak yang kau beri
Untuk anak muda amal berhari-hari
Ikhlas dan budi kalian terbang berkawan
Meluncur kata-kata hikmat makna
Jujukan kalimat ilmu penuh daya jiwa
Selembar ilmu yang dipintal
Dari benang-benang kitab tua
Dihamparkan di depan anak muda
Yang sedang mencari makna kembara
Berpusing-pusing minda si anak muda
Bersilang bertindih antara lima
Memilih mencari mendengar bertanya
Dari sidang balas rancak berlari
Anak muda masih mencari makna
Tegur, marah, perli, sindir dan gurau
Menjadi penyedap seluruh kata
Sejam atau sesaat niat tetap sama
Memberi ilmu tanpa warna masa
Membuka lembaran baru ilmu
Berlipat-lipat minda si anak muda
Pintalan minda berpusing-pusing
Menyusun, merenung, mengkaji, memilih
Apakah sama kafir dan munafiq
Atau ia dari juzuk yang berbeza
Atau dikira dari nilai atau maknanya sahaja
Bergulung-gulung minda anak minda mengembara
Amalan masih termenung
Jawareh masih bingung
Minda sedang meneroka
Untuk menerima atau bersahaja
Dari hamparan ilmu yang ditebar
Tok guru tetap tersenyum sinis
Melihat anak muda yang sedang termenung
Memilih kumpulan atau pandangan
Hanya Allah dan Rasul jua jadi panduan
Atau dari ahli ilmu yang budiman
Jangan digulung-gulungkan minda takwilan
Mencari makna yang berlipat-lipat
Di celahan untaian pandangan yang berjuta
Memilih yang haq jua benar
Asal ia datang dari Allah dan Rasul jua
Bukan untuk dimegah atau didebat
Cukup untuk difahami makna
Diamal akal, budi jua jiwa
Bukan untuk dibengis kepada yang berbeza
Jelas tok guru memberi makna
Kawakib Duriyah
Gombak
25 Mac 2009
Senak benak ini menahan gelojak
Sakit hati ini menahan goda
Sedih jiwa ini meronta sepi
Semakin jauh dari Tuhan ‘Alamin
Semakin dekat pada nafsu dan syaitan
Dibius nafsu serakah
Kejang tidak berbalas
Menggelupur tidak bergerak
Bergerak tanpa makna
Hanya merenung tanpa apa-apa
Paluan serakah acuan syaitan
Persetan syaitan celaka seluruh waris
Jauhkan dari diri ini yang hanya kelu
Diam tanpa makna
Sepi tanpa kata
Gerakkan seluruh jawareh ini menempelak
Mencaci, memaki seluruh waris syaitan
Mohon dijauh seluruh badan seluruh keturunan
Kali ini ku berdiam seribu makna, sejuta rasa
Diam bukan bererti kalah
Diam bukan bererti salah
Diam bukan bermakna aku menyerah
Diam tanpa kata penuh makna
Semua jawareh ini bertempur tanpa kata
Mohon bantuan tentera malaikat langit ketiga
Keempat jua ketujuh
Seluruh artilari, pesawat pejuang iman
Membunuh persetan syaitan
Berkubu di benak ini sekian lama
Persetan kau syaitan
Aku akan tetap ke Syurga
Engkau memang selama di Neraka
Kawakib Duriyah
Gombak, Selangor
11.30 pm, Rabu
25 Februari 2009
Puisi ini belum mempunyai judul sendiri, ada cadangan?
Selembar kasih menjulur jujur
Tidak sama jeritan batin sedih
Berteriak menangis hampa pilu
Saban hari menimpa syahdu
Kasih bertempik sedih
Menjerit menyoal
Kenapa dia tidak diambil saban hari
Lekuk-lekuk semakin dalam
Kadang kala tidak mampu ditimbus
Hanya kasih di hati masih bertatih sedih
Kenapa masih ada bekas-bekas lama menjerit
Compang camping hidup yang tidak teratur
Belum lagi memberi ajar kepada diri yang sering hanyut
Hanya rindu tanpa dendam yang semakin berputih
Tanpa warna tanpa kata-kata
Selembar cinta berlari-lari
Kadang tersungkur bangun kembali
Tiada penat tiada letih
Disambar kilat ditebas ribut
Masih berjalan walau dihalang
Puing-puing rindu terbang berkawan
Menjerit melolong mencari kasih
Kawakib Duriyah
Tumpat, Kelantan
9 Januari 2009
Ramai bertanya tentang nama anak kami yang telah lahir 16 Disember lepas. Setelah mencari nama yang sesuai, kami bersetuju untuk menamakan anak ini dengan nama ‘Amir Siddiqiy (عامر صديقي). Pasti sesiapa pun akan bertanya, apa makna nama ini? Tetapi saya lebih suka orang bertanya, kenapa diletakkan nama ini? Eh! Mengapa mesti soalan begini? Tentu ada kisah disebalik nama ini. Biasanya sesetengah orang suka menamakan anak kerana maknanya yang baik, nampak moden dan kontemporari, atau mungkin nama datuk nenek yang banyak berjasa kepada masyarakat dan mungkin juga kerana tokoh-tokoh agamawan atau politik tertentu sama ada terkenal atau tidak.
Namun begitu saya memilih nama ini adalah kerana ia adalah nama para sahabat Nabi s.a.w. Wujudkah sahabat yang bernama ‘Amir Siddiqiy? Tidak. Ia adalah gabungan dari dua orang nama sahabat r.a. yang banyak menyumbang dalam gerakan perjuangan Islam. Tentu kita ingat peristiwa Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah. Baginda telah dibantu oleh beberapa orang sahabat r.a. melaksanakan perintah Allah s.w.t. itu. Antara yang utama ialah hampir seluruh keluarga Abu Bakr al-Siddiq r.a. Di bawah ini dinukilkan riwayat peristiwa hijrah Nabi s.a.w. dari rumah Abu Bakr al-Siddiq r.a. Hadith ini adalah riwayat Aisyah r.a. yang direkodkan oleh oleh al-Imam al-Bukhari r.h. di dalam Sahih al-Bukhari;
‘Aisyah berkata: “Pada suatu hari ketika kami sedang duduk di dalam rumah Abu Bakar di tengah hari seseorang berkata kepada Abu Bakar: “Inilah Rasulullah s.a.w. (datang) dengan bertudung kepala - pada suatu waktu di mana beliau belum pernah mendatangi kami pada waktu (seperti) itu. - Abu Bakar berkata: “Sebagai tebusan bahaginya adalah ayah dan ibuku Demi Allah, beliau tidak datang pada saat seperti ini, kecuali ada sesuatu (urusan)". 'Aisyah berkata: "Rasulullah s.a.w. datang seraya minta izin. Lalu ia memberi izin kepada beliau dan masuk", Selanjutnya Nabi s.a.w. bersabda kepada Abu Bakar: "Keluarkanlah orang-orang yang ada di dekatmu". Abu Bakar menjawab: "Mereka hanyalah keluargamu, dengan ayahku engkau ditebusi, wahai Rasulullah". Beliau bersabda: "Diriku benar-benar diizinkan untuk keluar". Abu Bakar bertanya: "(Apakah termasuk) sahabat, dengan ayahku engkau ditebus, wahai Rasulullah?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ya". Abu Bakar berkata: "Dengan ayahku engkau ditebus, wahai Rasulullah, maka ambillah salah satu dari dua untaku ini. Rasulullah s.a.w. bersabda: "(Tetapi harus) dengan harga".
'Aisyah berkata: "Lalu kami menyiapkan kedua unta itu dengan persiapan secepatnya. Kemudian kami membuatkan bekal untuk mereka berdua di dalam kantong. Kemudian 'Asma binti Abu Bakar memutus ikat pinggangnya dan mengikatkannya pada mulut kantong itu. Maka dengan demikian ia disebut dengan "Dzatun Nitaqayn" (wanita yang memiliki dua ikat pinggang).
'Aisyah berkata: "Kemudian Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar menyusul ke gua di gunung Thur, mereka bersembunyi di situ tiga malam. Abdullah bin Abu Bakar, seorang pemuda yang cerdik lagi cepat pemahamannya ikut bermalam di sisi mereka berdua. Ia keluar dari sisi mereka berdua pada waktu sahur, lalu pagi harinya ia berkumpul dengan orang-orang Quraisy di Makkah seperti layaknya orang yang bermalam. Ia tidak mendengar sesuatu (rahsia) yang akan memperdayakan mereka berdua, kecuali ia menjaganya sampai ia membawa berita itu kepada keduanya disaat malam mulai kelam. 'Amir bin Fuhairah -bekas hamba Abu Bakar - menggembalakan kambing untuk diperah susunya bagi keduanya, lalu ia menuntun kambing itu di dekat mereka berdua di saat sebahagian waktu Isya’ telah lewat. Maka keduanya bermalam dengan mendapat susu segar, -iaitu susu kambing perahannya dan susu yang dicelup batu panas, - hingga 'Amir bin Fuhairah menyeru pada kambing itu pada waktu menjelang fajar. Ia melakukan hal itu setiap malam selama tiga malam. Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar mengupah seorang lelaki Bani Daiyl, iaitu dari Bani 'Abd bin 'Adiy untuk menjadi pemandu yang ahli, padahal ia telah bersumpah pada keluarga 'Ash bin Wail al-Sanmiy. Ia adalah pemeluk agama orang-orang kafir Quraisy, namun mereka berdua mempercayainya. Lalu keduanya menyerahkan kedua untanya kepadanya dan menjanjikan dia di gua Thur setelah tiga malam dengan membawa kedua unta mereka pada subuh, hari ketiga. Dan berangkatlah 'Amir bin Fuhairah dan pemandu itu bersama mereka berdua (Nabi s.a.w. dan Abu Bakar). Lalu pemandu itu mengambil jalan pantai bersama mereka.
Takhrij : Hadith riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari. Direkodkan di dalam Kitab Manaqib al-Ansar, Bab Hijrah Nabi s.a.w. dan Para Sahabat Baginda ke Madinah, No. Hadith 3715.
Riwayat ini diambil dari matan yang panjang yang dinukilkan di dalam Sahih al-Bukhari. Dua nama yang telah dihitamkan itu adalah dua orang sahabat yang menemani Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah. Iaitu Abu Bakr al-Siddiq r.a. dan ‘Amir bin Fuhairah r.a. bekas hamba Abu Bakr r.a. Sempena tahun baru hijrah 1430H ini kami menamakan anak lelaki kami yang lahir ini dengan nama dua orang sahabat r.a. ini;
‘Amir bin Fuhairah r.a. + Abu Bakr al-Siddiq r.a. = ‘Amir Siddiqiy
Semoga semangat kedua sahabat r.a. ini membantu perjuangan Rasulullah s.a.w. meresapi ke dalam jiwa anak kami dan berusaha untuk memajukan diri, keluarga dan masyarakat. Amin...
Kasih Ilahi kasih sejati
Panahan kasih masuk diresapi
Ditapis iman ditapis ihsan
Mohon bertahan hingga ke mati
Mohon tersergam hingga syurgawi
Mohon dikasih ibu, ayah serta Ilahi
Tiada kasih ibu seperti
Kasih ayah tidak bertepi
Kasih Ilahi hingga abadi
Kawakib Duriyah
25 Disember 2008, 10.00 malam
Tumpat, Kelantan
Pengalaman pertama saya melalui fasa hidup baru ini memberi pelbagai erti dan persepsi. Variasi situasi warna hidup mendapat perasaan yang bercampur-campur.
Selepas lebih dua belas jam berada di dalam bilik gelap itu, doktor memutuskan untuk membuat penbedahan ceaserean kepada isteri saya disebabkan kemungkinan untuk bersalin secara normal agak tipis. Ini kerana tekanan darah isteri agak tinggi dan tidak menentu. Sekiranya dibiarkan tentu akan menjadi kesan yang lebih buruk.
16 Disember 2008 pukul 1.30 pagi, isteri diangkut menggunakan ambulan terus ke Dewan Pembedahan Intan. Saya ke hulur ke hilir mencari arah yang tidak menentu kerana memikirkan nasib dua insan yang berada tidak di depan mata. Perasaan risau dan gundah lebih menguasai daripada perasaan teruja atau suka. Sambil berpusing-pusing mencari tandas awam untuk mengambil wudhu’, tanpa disedari air mata yang sekian lama bertakung di kelopak mata ini jatuh ke bumi jua. Mulut terkumat-kamit berdoa agar Allah s.w.t. mempermudahkan kelahiran ini. Diselang seli dengan membaca puisi yang sempat ditulis di dalam labour beberapa jam sebelum itu. Air mata ini tidak mahu berhenti menitis.
Alhamdulillah, datang seorang berpakaian serba putih menjerit, “Waris Husna Mohammad!” Ah!, aku tertidur rupanya sambil berlinang air mata. Jam dilihat sudah hampir 3.30 pagi. Saya meluru ke pengusung mendapatkan isteri. Lalu jururawat menghulurkan sesuatu yang dibungkus kemas, sambil berkata, “Pegang ini, ‘Sok’.” Sok dalam dialek Kelantan bermaksur uri janin bayi yang dilahirkan.
Saya merenung melihat isteri yang tersenyum. Senyumannya ketika itu antara yang paling manis saya lihat. Allah s.w.t. mahu memberi kami berdua ujian untuk dilanda bersama lagi. Terima kasih Tuhan. Hanya Engkau penulis skrip hidup kami. Kami semua cuma patung-patung yang diberi fikiran untuk memilih.
Tepat jam 2.18 pagi, seorang lagi umat Muhammad lahir ke dunia ini. Alhamdulillah, moga dia datang pada saat ini memberi seribu satu macam kenangan yang mendatang.
Alhamdulillah, setelah enam hari di Hospital Raja Perempuan Zainab Kota Bharu. Isteri saya selamat pulang selepas melahirkan bayi lelaki pada jam 2.18 pagi pada 16 Disember 2008. Kelahiran terpaksa melalui kaedah ceaserean disebabkan tekanan darah yang agak tinggi berjaya melahirkan bayi seberat 2.6kg.
Saya sendiri berada di dalam labour room selama dua hari bersama isteri untuk memberi sokongan sepenuhnya. Namun kelahiran ini terpaksa melalui cara pembedahan juga. Terima kasih atas doa semua. Di bawah ini adalah gambar orang baru dalam kehidupan saya dan isteri untuk tatapan saudara mara dan sahabat handai.Pohon tamar digoncang Maryam
Kerna bakal yang bakal lahir itu menjadi pengugat zaman
Perit pedih sebuah kelahiran
Memberi erti seorang manusia lahir
Bukan seperti angin berlalu di pinggir pekan
Tetapi satu tujuan untuk menjunjung Risalah Tuhan
KepadaMu kumohon dipermudahkan sebuah kelahiran
Kawakib Duriyah
15 Disember 2008
Labour Room 16
Dewan Bersalin, Hospital Raja Perempuan Zainab
Kota Bharu
Dalam relung-relung amal, kita cuba seikhlas padu. Mengapa masih terkenang dosa nan lalu? Hiruk pikuk gempita ujian dunia, adakah sama korban Ibrahim untuk Allah Tuhannya?
"Bila bahagia bertangga, kau akan faham apa erti hidup bersama."
Mohon jangan disalahfahami tajuk tulisan ini. Ia bukan ada pengacau yang datang atau jauh sekali skandal yang melompat. Yang dimaksudkan dengan Orang Ketiga itu adalah kehadiran cahaya hati aku dan isteri buat kali pertama. Setiap hari dihitung setiap masa, bilakah orang ketiga itu akan hadir. Doktor dan tabib hanya mampu memberi nombor, tetapi nombor itu adalah milik Pencipta nombor itu jua akhirnya.
Kadang kala terdetik di hati. Ayahkah aku? Layakkah aku menjadi bapa kepada seorang manusia? Cetusan hati ini cuma muncul kerana aku merasa mungkin kerana cara hidup semacam keanak-anakan, ceria gembira, happening, rindu, syahdu, gurau tawa dan kasih sayang. Menjadi bapa bukan seperti menjawat jawatan pegawai di agensi kerajaan, atau menjadi chief department di syarikat perniagaan, atau bukan juga menjadi penghulu di sebuah kampung pinggir bandar. Menjadi bapa adalah amanah yang lebih dari itu. Menerima sehelai kain putih yang suci dan bersih, untuk diwarna mengikut acuan dan skala yang telah digarispandukan. Apa sahaja warna tidak mengapa, asalkan konsep, lakar asas, gabungan warna menepati ciri-ciri yang telah diposkan kepada semua manusia 1400 tahun dulu.
Kolotkah menggunakan surat yang sudah beratus tahun turun, dibaca setiap hari, dikaji segenap ciri, ditilik berhari-hari? Surat dari langit datang bersama manual panduan untuk manusia menjadi manusia dalam perspektif Pencipta. Kolotkah merujuk kepada surat ini?
Moga diharapkan aku dan isteri mampu memikul amanah ini. Bersama kerahan idea, imbangan pengalaman, analisa ilmu, pandangan tulus hati dan sejiwa kasih, aku memohon dipermudahkan urusan untuk mencorak kain putih ini. Gugusan warna, lakaran asas, panduan corak harap menepati manual yang telah dipos kepada kami sekian lama.
Menjadi bapa adalah cabaran besar untuk aku kali ini. Segala kasih, ilmu, memori, pahit manis hidup dan maklumat am, akan menjadi serangkap panduan untuk aku melukis setiap garis-garis di kain putih itu. Mohon dipermudahkan Tuhan, aku cuma terdetik di benak ini.
Bila wajah bertemu muka
Senyum simpul terbentuk
Riak dibaca
Bila mata bertemu mata
Kasih menyapa cinta bersua
Bila ijab dipinta qabul diterima
Cinta terpahat kasih terikat
Moga hidup kalian bahagia bertangga
Salam Pengantin Baru
Daripada Mat dan Husna
Bila bahagia bertangga selama
Kau akan faham apa erti hidup bersama
kawakib duriyah
a.k.a. Ahmad Saifuddin Yusof
Jerteh
27 Mei 2008
Semoga semua kawan-kawan saya yang berkahwin dalam masa terdekat ini atau pada masa akan datang saya dan keluarga mengucapkan Selamat Pengantin Baru, semoga hidup kalian bahagia bertangga.
Saya ada terlintas satu frasa. Saya tidak pasti sama ada ia memberi makna apa-apa atau ia cuma kata-kata.
Cara kita melihat diri, akan mengubah cara kita melihat dunia,
Cara kita melihat dunia, akan mengubah cara kita menilai cinta,
Cara kita menilai cinta, akan mengubah cara kita mengenal Pencipta.
Adakah ia memberi makna apa-apa, atau cuma kata-kata sahaja? Saya cuma terdetik... Hanya Allah yang Maha Bijaksana.
Aku cuba gagahkan diri melirik kata-kata sementara masih ada berbaki tenaga yang sudah basi ini. Apa yang aku cuba titipkan kali ini adalah gangguan ketika aku sedang memuntahkan kalimah-kalimah ilmu di depan laptop. Aku sejak kecil memang alah dengan informasi, hiburan yang menggerakkan minda, cerita yang memberi bermacam idea. Tetapi apabila datang suatu prioriti untuk aku fokus secara padu, ia memberi impak yang menggetarkan benakku.
Kadangkala aku hanyut dengan kotak-kotak elektronik yang penuh informasi, atau wayang kecil yang memutarkan mindaku, sedangkan itu bukan daruri untuk seketika waktu ini. Aku harus menumpukan sepenuh jiwa, raga, akal budi, minda dan emosi untuk luluskan disertasi yang aku sedang tulis ini. Laluan sungguh sukar untuk aku menentang godaan yang sungguh kuat mendatang. Frekunsinya sungguh ganas untuk aku tepis, namun kadang kala, mindaku memain peranan membetulkan fizikal agar tidak tersalah arah. Memang benar, apa yang aku tonton di wayang mini dan apa yang aku baca layar siber itu memberi sejuta informasi. Tetapi bukan itu yang harus aku penuhi sekarang ini.
Aku mesti kuatkan semangat memberi fokus tiga empat lipat untuk aku lorongkan disertasi ini dengan jalan yang lurus dan rata. Sekarang ini, aku perlukan sokongan dari semua, memberi sedikit inspirasi untuk terus berjuang sambil menunggu kehadiran manusia fitrah lahir ke dunia. Mungkin dengan sekelumit coretan, memberi sejuta harapan dan impian yang mampu mengubah sedikit pandang alam agar terus menatap dan melangkah penuh gagah. Aku perlu koreksi apa yang berlaku agar dapat mengubah sedikit komitmen.
Memang benar, cara kita melihat diri, akan mengubah cara kita melihat dunia.
Sahabat sekalian, aku memohon...
Berbalik kepada cerita isteri dan disertasi. Beza di antara dua kalimah ini adalah seperti ini; Isteri, pelengkap hidup dan teman sejiwa hingga dunia Akhirat. Disertasi, impian yang perlu dipenuhi bagi melengkapkan impian yang lebih hebat. Isteri, teman di kala susah dan senang, tawa dan tangis, ceria dan duka kerana dia adalah pelengkap selama. Disertasi, susunan beribu-ribu kalimah yang mengandungi hasil kerahan tenaga fikir, lompatan idea dan jeruk semangat yang membugar.
Antara isteri dan disertasi, aku menganggap keduanya sama penting. Bila disebut sama bukan bermakna serupa. Ringkasnya, disertasi penting sementara tetapi isteri penting selama-lama-lama. Walaupun nampak sama, maqamnya tetap berbeza, posisi jauh benar jaraknya.
Kepada isteri yang kunikahi, jangan disalahfahami baris-baris ini. Aku cuma ingin mengungkap bahawa posisi dirimu di hati ini tidak teralih atau tergerak seinci. Tiada siapa atau apa yang mencabar posisi ini. Kita saling melengkapi sesama. Bersama kita susun bunga-bunga kasih menjadi sejambak cinta yang diikat bersama Iman kepada Tuhan.
Antara isteri dan disertasi. Aku memilih isteri untuk kukasih. Aku memilih disertasi untuk kutulis. Akan kucantum keduanya untuk kubina impian yang ditulis bersama teman yang kukasih.
Antara isteri dan disertasi, ia bukan ungkapan misteri. Tetapi padanya ada kasih sejati dan impian bererti.
Lebih sebulan lama aku berjaga jiwa dan raga berfikir, memerah idea. Setelah sekian lama terasa senak di mata berat di minda. Sungguh! Pengalaman ini aku tidak pernah lalui. Aku pernah lalui melaksana program yang besar. Tapi aku tidak pernah rasa sepenat ini otak kanan dan kiri. Biasa jika ada kerja besar, hanya tubuh sahaja yang lemah tetapi minda masih boleh berputar. Tetapi ada terasa sekarang, seolah putaran itu makin perlahan dan tidak sekata. Disebabkan banyak kekangan masa, tekanan waktu yang memburu, sambil menunggu orang ketiga datang tidak lama lagi. Ia menjadi makin termengah untuk berputar. Putaran minda ini ibarat memandu di jalan yang penuh simpang kadang perlahan dan kadang meluru laju.Setelah sekian lama, aku terpaksa mencatit juga. Meluah muntah-muntah penat, hilang semangat.
Aku percaya ramai diluar sana menghadapi situasi sama. Tetapi mungkin sama tetapi perasaan berbeza. Aku kuatkan jiwa untuk terus melanda, berdepan dengan kekaratan putaran yang tidak sekata. Aku tahu apa yang aku tatap saban hari adalah pengkisahan manusia terulung Muhammad bin Abdullah s.a.w. Dibaca kisah, ditenung cerita penuh makna. Berkerut dahi, berdenyut kepala memandang matan Arab yang sarat makna. Kadang mengangguk, kadang menggeleng. Laksana membaca tulisan jawi arwah ayah yang berlipat-lipat sirat.
Rambut seakan segan memanjang, seolah memberi penunjuk kepada empunya diri agar berusaha semangat, rambutmu ini akan menunggu untuk diselesai. Teruskan usahamu! Aku akan setia menunggumu menitip kalimah akhir disertasi ini.
Muhammad seolah hadir tersenyum memberi dan menghulur asa untuk aku tatap kisahnya hingga akhir. Tiap baris kisah aku cuba lalui penuh faham. Kadang tersenyum sendirian, ada juga ketawa seorang. Kadang menitis air mata pabila syahdu datang.
Terima kasih Tuan Punya Bumi dan Langit, takdirmu meluru masuk untuk aku analisa kisah RasulMu memberi lautan makna, aliran cerita penuh ekspresi.
Jari-jemari yang bertatih di atas kekunci dulu, sekarang semakin pantas membuka langkah, walaupun terkadang tersembam muka ke tanah. Kalimah demi kalimah datang berdikit-dikit sehingga layar mendesak supaya dipenuhi kalimah-kalimah untuk mencari peribadi Nabi.
Ku mohon lagi tenaga untuk aku simpulkan disertasi ini untuk aku sebarkan kepada pencinta NabiMu. Akanku kongsi tawa, tangis, rindu baginda penuh syahdu. Wahai Tuhan! Aku memohon untuk aku akhiri disertasi ini penuh makna, tepat masa, sekata selama.
Aku tidak kisah
Aku berdua juga akhirnya
Impian tercapai
Cita digapai
Aku tidak kisah
Isteriku setia selama
Berjanji setia bahagia
Aku tidak kisah
Akhirnya aku tersenyum jua
Aku tidak kisah
Sepi pergi ke sana
Hanya tinggal kenangan
Menguat diri meneguh raga
Aku tidak kisah
Isteriku...
Temani aku bersama kenangan
Kenangan sepi kenangan pilu
Aku tidak kisah
Biarkan pilu lalu
Sekian lama berpusing di minda
Bersilang bertindih antara satu
Menggegar sukma
Menghentak asa
Aku tidak kisah
Isteriku...
Mari kupimpin tanganmu
Kita rentasi masa
Memunggah bahagia
Mengutip cahaya
Aku tidak kisah lagi
Apa yang ada di hadapan
Ku akan cuba landa
Berteman insan yang kucinta
Aku tidak kisah
Kerana namamu Husna
Aku bahagia
Biarkan aku dan kamu
Kerana sekarang sudah ada Kita
Kawakib Duriyah
Kota Bharu, 2.25 pagi 14 Oktober 2007M / 3 Syawal 1428H
Kepada semua kawan-kawan yang mengenali saya, tidak kira taraf kakak, abang atau adik, termasuk sanak saudara saya semua. Saya dengan rasa rendah diri ingin menjemput semua ke Majlis Kesyukuran sempena perkahwinan saya Oktober ini. Majlis ini akan diadakan pada 18 Oktober 2007M bersamaan 6 Syawal 1428H di rumah keluarga saya di alamat 239-B Jalan Pam Air Pelagat, Kampung Padang Landak, 22000 Jerteh, Terengganu.
Jika saudara-saudari jauh dari rumah saya, boleh juga datang ke rumah pengantin perempuan pada 15 Oktober 2007M bersamaan 3 Syawal 1428H di alamat Lot 3404 Jalan Masjid Kutan Tengah, Wakaf Bharu, 16250 Tumpat, Kelantan.
Di sini saya lampirkan kad jemputan untuk tatapan kawan-kawan semua. Kad untuk pengantin perempuan tidak ada, sebab dia tidak mahu. Saya pun tidak faham kenapa, tanya dia...hehehe






